Assalammualaikum dan Salam Sejahtera|
Lawatan Pemantauan Projek Kelulut di bawah Program Ekonomi ATM MADANI telah diadakan di 18 RAMD (PARA), Kem Seri Pantai, Kuala Nerus bagi menilai status terkini pelaksanaan projek tersebut.
Sebanyak 40 sarang kelulut dibekalkan menerusi inisiatif ini sebagai usaha memperkasakan kesejahteraan masyarakat melalui aktiviti ekonomi berasaskan penternakan madu kelulut yang berpotensi memberi pendapatan tambahan kepada anggota dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT).
Kunjungan Brig Jen Hamdan bin Ahmad TUDM, Timbalan Penolong Ketua Staf Perkhidmatan Personel (TAKS PA), bersama Lt Kol Sazizi bin Mat Piah TUDM, Pentadbiran PS 1 CSA, telah disambut oleh Mej Mohd Aufa bin Baharuddin, Penolong Pegawai Memerintah 18 RAMD (PARA), Kem Seri Pantai.
Sebagai langkah persediaan, beberapa siri bengkel bersama BAKAT akan dianjurkan dalam masa terdekat bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam aspek asas penternakan kelulut dan produk berasaskan madu kelulut.
Turut hadir Prof Dr Shamsul Bahri Abd Razak bersama pasukan Pusat Pemindahan Ilmu, Penglibatan Industri & Masyarakat (PPIJIM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).


