19 Mei 2026 – Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera.|
AJIL, 19 Mei – Program Kembara Pendidikan Tinggi @Terengganu sempena Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah dilancarkan melalui kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
Pemilihan Kampung Menerong sebagai Kampung Angkat MADANI mencerminkan komitmen berterusan UMT terhadap pembangunan komuniti yang komprehensif dan mampan. Usaha ini diperkukuhkan lagi dengan pemilihan beberapa sekolah di kawasan sekitarnya sebagai Sekolah Angkat STEM UMT. Di samping itu, projek bimbingan UMT seperti penanaman cendawan dan pertanian kelulut telah memberi impak langsung kepada peningkatan sosioekonomi penduduk tempatan.
Bersamaan dengan ini, Program Kembara Pendidikan Tinggi @Terengganu berjaya menghimpunkan kepakaran daripada pelbagai IPT untuk menyediakan kandungan kepada komuniti setempat yang merangkumi pendidikan, motivasi, STEM, literasi digital, latihan kemahiran dan keusahawanan, program kesihatan dan kelestarian alam sekitar. Pada masa yang sama, UMT turut mengetengahkan penglibatan pelajar melalui Skuad Lasykar Alam@UMT dalam melaksanakan projek kelestarian bersama komuniti, sekali gus memperkukuh usaha pemuliharaan alam sekitar yang berterusan.
UMT kekal komited untuk terus memperkukuh agenda pemerkasaan komuniti melalui pendekatan yang inklusif, progresif dan berimpak bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh, terutamanya oleh masyarakat luar bandar.
Disediakan oleh: Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri dan Komuniti (PPIJIM), UMT
Facebook: https://www.facebook.com/share/p/1GYtPrnYyi/
TikTok: https://www.tiktok.com/@official_umt/video/7641827503316716820?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7633640864421545489
Instagram: https://www.instagram.com/reel/DYhIDiWzWjy/?igsh=ajB0NGhjb282dG43
Terima kasih.

